SEJARAH SEKOLAH
Penubuhan Sekolah Agama Bandar Putra
mula dicadangkan apabila mendapat rintihan daripada penduduk Bandar Putra berhubung permasalahan untuk mendapatkan Pendidikan Agama untuk anak-anak mereka. Bertitik tolak daripada itu, satu jawatan kuasa telah dibentuk bagi melaksanakan hasrat penduduk setempat bagi mendapatkan kebenaran untuk menumpang di premis Sekolah Kebangsaan Bandar Putra.
Permuafakatan di kalangan ibu bapa Bandar Putra telah dicapai dan akhirnya satu jawatan kuasa telah dibentuk untuk memperjuangkan penubuhan Sekolah Agama Bandar Putra. Sehubungan dengan itu, jawatan kuasa yang telah dibentuk telah mengajukan permohonan kepada Bahagian Pendidikan Agama, Jabatan Agama Islam Johor dengan menyertakan senarai Ahli Jawatankuasa dan enrolman pelajar berdasarkan Sekolah Kebangsaan Bandar Putra. Permohonan ini telah diajukan pada 20 Februari 2004, dan secara rasminya permohonan ini telah diletakkan di bawah tindakkan Ustaz Mustajab Bin Anuar selaku penyelaras permohonan ini.
Pada 16 Mac 2004, permohonan untuk menumpang di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra telah diluluskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Operasi sekolah yang sepatutnya bermula pada pertengahan 2004 tidak dapat dilaksanakan kerana kebenaran menumpang telah diberikan tanpa kerusi dan meja. Ini kerana pihak Sekolah Kebangsaan Bandar Putra pada katika itu mengalami kekurangan peralatan tersebut.
Atas keprihatinan dan usaha Ahli Jawatankuasa serta Kariah Bandar Putra, satu dana telah berjaya dikumpulkan bagi membeli kerusi, meja dan keperluan lain. Dana ini telah diperolehi daripada sumbangan penduduk setempat dan insan yang prihatin tentang pentingnya Pendidikan Agama di kalangan anak-anak mereka.
Oleh itu, pada 1 September 2004, Sekolah Agama Bandar Putra telah memulakan operasinya secara rasmi setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Sekolah Kebangsaan Bandar Putra. Mudah-mudahan penubuhan Sekolah Agama Bandar Putra ini akan dimanfaatkan oleh ibubapa bagi mendapatkan Pendidikan Agama untuk anak-anak mereka , dan kami amat mengharapkan kerjasama daripada ibubapa untuk meneruskan perjuangan kami dalam memberikan Pendidikan Agama untuk anak-anak mereka.
VISI DAN MISI
VISI
MEWUJUDKAN PERSEKITARAN SEKOLAH YANG HARMONI,
MENGUTAMAKAN PROGRAM PEMBANGUNAN PELAJAR YANG SEIMBANG BERPANDUKAN AL – QURAN DAN AL – HADIS, AGAR MEMENUHI CIRI ‘KHAIRULUMMAH’.
MISI
MELAHIRKAN PELAJAR YANG BERILMU, BERKETERAMPILAN,
BERDISIPLIN, BERIMAN DAN BERTAQWA.
CARTA ORGANISASI